Friday, May 9, 2008

Anak Adalah Masa Depan Kita

Sememangnya kenyataan ini diketahui ramai tetapi apakah makna di sebaliknya? Sepintas lalu ia menggambarkan bagaimana anak-anak hari ini akan menjadi penyambung zuriat sesebuah keluarga di masa depan. Justeru jika sesebuah keluarga tidak mempunyai anak, akan adalah usaha untuk mengambil anak angkat walaupun itu mungkin bukan penyelesaian secara total. Jika tidak zuriat keluarga itu akan terhenti.

Bagi orang Islam, zuriat amat penting mengikut susur galur yang sebenar. Salah satu pengajaran di dalam Islam ialah ' Perginya seorang anak Adam dari dunia ini berbekalan jika meninggalkan amal jariah, ilmu yang dimenafaatkan dan anak yang soleh'. Dalam kontek ini, amal jariah adalah hasil usaha sendiri ke arah kebajikan. Begitu juga ilmu yang dimenafaatkan adalah ilmu-ilmu yang baik. Maka boleh disimpulkan guru-guru yang sentiasa berbakti menyebarkan ilmu sudah mempunyai satu bekalan tanpa bersusah payah. Dengan niat yang baik, guru-guru dapat bekalan tanpa perlu pergi ke tempat lain berbanding mereka yang bukan mengajar!

Berbalik kepada anak, pengajaran ini lah yang memungkinkan betapa besarnya makna anak bagi sesebuah keluarga Muslim.

Saya percaya tanggapan ini juga tidak jauh berbeza dari pemahaman rakan-rakan yang mempunyai kepercayaan agama yang berbeza. Anak mempunyai pengertian yang begitu bermakna.

Persoalannnya bagaimana kita sebagai generasi ibu bapa dan guru dapat menyumbang ke arah membentuk anak-anak kita supaya mereka benar-benar menjadi masa depan kita? Sesungguhnya anak-anak kita perlu menjadi yang terbaik di dalam keluarga, sekolah dan masyarakat. Mereka perlu mempunyai nilai-nilai hidup yang mulia. Sebagai warganegara Malaysia, kehidupan mereka juga perlu berlandaskan Rukun Negara. Justeru salah satu cara membentuk anak yang baik ialah dengan mewujudkan semangat Rukun Negara di dalam setiap diri anak-anak dan pelajar. Ianya menggalakkan nilai-nilai hidup berkepercayaan agama, setia kepada Raja dan Negara (menuntut kesediaan mempertahankan Negara dari sebarang ancaman), meluhurkan Perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang serta menjalani hidup sopan. Sememangnya semangat Rukun Negara telah luntur jika pun tidak asing dari kehidupan warga negara Malaysia. Setiap hari kita lihat, dengar dan baca di dalam akhbar berkaitan perkara atau kejadian yang bertentangan dengan nilai dan tatasusila Rukun Negara.

Saya ingin mengajak kita semua menilai semula nilai-nilai Rukun Negara ini di ruangan akan datang dengan harapan ianya dapat membangkitkan semula semnagat menjadikan anak-anak kita sebagai pewaris masa depan Malaysia kita yang cemerlang!

No comments: